Wednesday, 14 December 2011

Lelaki dan Perempuan Bersahabat??


Islam itu prinsipnya bukan menyekat, sebaliknya memberi saluran dan alternatif. Apabila manusia bergerak untuk maju, mereka akan bertemu dalam lapangan-lapangan tertentu. Seumpama kehidupan di kampus, kerja di pejabat mahupun turun memberi sumbangan pada masyarakat. Manusia yang bertemu ini, bukan hanya sesama jantina sebaliknya lelaki pasti akan bertemu wanita, dan wanita pula akan bertemu lelaki.

Islam tidak menghalang perkara tersebut.
Tidak haram lelaki bertemu wanita dalam satu-satu lapangan kerja, begitu juga wanita tidak haram bertemu lelaki. Mereka boleh berhubung, bergaul dan bekerja bersama-sama.
Cuma, Islam menyalurkan manusia dengan etika yang betul. Etika inilah yang akan menjadikan pergaulan serta perhubungan tadi selamat, bukan hanya di dunia bahkan hingga ke akhirat. Antara etika yang Islam tetapkan adalah menjaga pandangan.

Dan bab menjaga pandangan ini cukup teliti dan panjang untuk diulas. Apa yang penting, tersirat satu hikmah besar di sebalik arahan Allah supaya lelaki jangan pandang wanita dan wanita jangan pandang lelaki.
Habis tu, lelaki kena jalan pandang bawah je la?
Bukan.
Menundukkan pandangan maksudnya jangan pandang tanpa ada keperluan untuk pandang. Jangan pandang dengan nafsu. Jangan pandang dengan keinginan tertentu. Jangan pandang tempat-tempat tertentu.

Jangan dan jangan ini, untuk kebaikan manusia sendiri. Apabila suka pandang, dari mata jatuhlah ke hati. Salah. Dari mata jatuhlah ke NAFSU. Timbullah keinginan-keinginan tertentu. Akhirnya bila bertemu jalan buntu, zinalah menjadi jalan keluar paling mudah.
Itu baru satu etika.
Banyak lagi etika lain yang Islam wajibkan untuk patuh dalam pergaulan lelaki dan wanita.
Antara lain :
1. Jangan berdua-duaan
2. Jangan letakkan diri dalam keadaan yang mengundang fitnah
3. Jangan bertepuk tampar, bersentuh-sentuhan, berpegangan tangan
4. Jangan bermain soal hati
5. Jangan bergaul dengan lawan jantina, seperti bergaul sesama jantina
6. Jangan terlalu rapat sehingga semua benda boleh ‘open’
7. Jangan bersubahat dalam perkara maksiat
8. Dan banyak lagi ‘jangan’ yang lain.

JADI, BOLEHKAH BERSAHABAT LELAKI DAN WANITA?
Sebelum dijawab, saya kira ada sedikit beza antara istilah ‘sahabat’ dan ‘kawan’ pada pengertian umum. Kawan atau rakan atau kenalan, sifatnya tidak terlalu rapat. Tapi istilah ‘sahabat’ menampakkan keakraban dan mungkin juga kemesraan.
Tak mengapa, itu isu istilah. Kita tidak mahu berbicara tentang istilah, tetapi mahu memfokuskan kepada apa yang diistilahkan. Kaedah Fiqh menyebut : ” Hukum dikira kepada apa yang dinamakan, bukannya pada nama “. Maknanya, kalau arak ditukar nama menjadi soya sekalipun, hukumnya tetap haram.
Begitu juga bab bersahabat atau berkawan dengan berlainan jantina.
Mudahnya, mari kita sama-sama fahami prinsip asas yang digariskan Islam :
1. Lelaki dan wanita berbeza ciptaannya. Bersentuh tangan atau duduk dekat-dekat sesama jantina, tidak sama dengan bersentuh tangan atau duduk rapat-rapat dengan beza jantina. Ada ‘cas’ tertentu yang akan mengalir. Oleh itu, Islam sama sekali mengharamkan sentuh menyentuh, pegang memegang, tepuk menepuk, dakap mendakap dan yang sewaktu dengannya oleh manusia yang berbeza jantina – kecuali setelah berkahwin.
2. Bersahabat mesti ada tujuan. Dan tujuan yang dibenarkan dalam Islam adalah tujuan yang membawa kepada Al-Birr (kebaikan) dan At-Taqwa (ketaqwaan). Sebagaimana Firman Allah ta’ala dalam Surah Al-Maaidah :
” dan hendaklah kamu sekalian bertolong-tolong dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan , dan janganlah kamu sekalian bertolog-tolong dalam perkara maksiat dan permusuhan “
Jadi, kalau bersahabat atas dasar taqwa dan kebaikan, caranya juga mestilah ada ciri-ciri orang bertaqwa dan orang yang membawa kebaikan. Orang bertaqwa tidak akan sembrono sahaja bergaul dengan bukan mahramnya. Dia pasti akan memelihara adab dan sahsiahnya. Begitu juga, tujuan yang sama-sama diusahakan juga tentulah yang menuju kepada Allah, seumpama dalam satu team dakwah, program untuk masyarakat dan sebagainya.
3. Batasan sesama bukan mahram. Atas nama apa sekalipun, jika hakikatnya mereka bukan mahram, maka hukumnya tetap haram jika batasan pergaulan dilanggar. Bermakna, walaupun kita ada sahabat / sahabiah berbeza jantina, tidak bermakna mereka boleh sampai ke tahap saudara kandung kita. Prinsipnya tetap sama. Justeru, selagi batas perhubungan sesama bukan mahram tidak dilanggar, maka persahabatan itu tidak salah.

ATAS NAMA KAWAN / SAHABAT?
Mereka keluar berdua, makan-makan dan melepak atas bukit. Ambil angin katanya. Bila ditanya, mereka jawab : ” kami hanya kawan biasa. Kebetulan dia ada masalah, nak cari tempat meluah, jadi saya luangkan masa. Lagipun, kami masing-masing dah berpunya “.
Sila ambil perhatian. Bercouple itu menjadi haram bukan kerana namanya couple atau semata kerana isu ‘aku cinta kau, kau cinta aku’. Couple menjadi haram dek kerana wujudnya gejala berdua-duaan, bercakap dari hati ke hati tanpa had batasan dan sebagainya. Jadi, jika berlaku elemen-elemen tersebut, tidak kiralah namanya ‘kawan’ , ‘sahabat’ ataupun ‘couple’ , hukumnya tetap adalah haram. Ia termasuk dalam kategori khalwat dan mukaddimah zina.
Ada lagi contoh situasi lain.

Si lelaki aktif dalam sesuatu pertubuhan. Ada kenalan ataupun sahabat wanita dalam pertubuhan yang sama. Mereka ramai, bekerja dan bergerak bersama. Tetapi dalam diam-diam, si lelaki suka ‘mengadu masalah dari hati ke hati’ dengan salah seorang kawan atau sahabat wanitanya. Hampir setiap malam bergayut di telefon. Bila ditegur, katanya ; saya mengadu kepada sahabat saya. Soalnya, mengapa sedemikian ramai sahabat sama jantina yang ada, sahabat lain jantina juga yang dicari?
Kalau jawabnya ; yang wanita lebih memahami, saya selesa mengadu kat dia, dan kadang-kadang dia pun mengadu kat saya – maka jatuh hukum haram, kerana wujudnya elemen mukaddimah zina dan ‘khalwat’ dalam telefon. Apatah lagi tujuannya langsung tidak ada ciri-ciri Taqwa.

BAGAIMANA YANG BOLEH?
Cuba lihat di mana anda berada.
Kalau dalam situasi anda di kampus, anda tentu punya rakan sekuliah atau sepersatuan. Mungkin terlibat dalam program, kerja bersama dan sebagainya. Maka anda boleh saja menganggap ‘muslimin itu sahabat saya’ atau ‘muslimat itu sahabiah saya’. Bahkan ia berpahala kiranya disandarkan kepada firman Allah : Sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara.
Tetapi, menganggap mereka sebagai sahabat atau sahabiah, tidak bermakna kita boleh ‘masuk’ ke dalam kehidupan mereka seperti kita masuk ke dalam kehidupan sesama kita. Maka, undang-undang pergaulan sangatlah perlu untuk dijaga.
Kalau dalam contoh bekerja pula. Katakan kita sebagai wanita, dan ketua kita adalah lelaki. Masing-masing boleh menganggap sesama sendiri sebagai sahabat. Tetapi jika berhubung, perbincangan hanyalah tentang hal-hal kerja sahaja. Selagi mana topiknya tidak tersasar, ia tidak menjadikan kita salah. Kita akan mula menjadi salah, apabila topik sedikit demi sedikit beralih dari hal kerja kepada hal peribadi, dari satu jam kepada berjam-jam, dari menaip kepada bergayut dan sebagainya.
Justeru, yang boleh tetap boleh, selagi mana tidak diresapi unsur-unsur yang menjadikannya sebagai tidak boleh.

KESIMPULAN
Sebagai mukmin yang membawa Islam sebagai cara hidup, lelaki mahupun wanita tidak sewajarnya membuka ruang fitnah kepada Islam hanya kerana sikap masing-masing. Kadang-kadang, ada wanita yang kononnya terlalu ‘menjaga perhubungan’ sehingga pergaulannya dengan lelaki – meskipun dalam hal-hal kerja – menjadi begitu sempit, tertutup dan menyusahkan.
Wanita jenis itu, ada isu yang panjang juga jika saya mahu ulas. Mungkin di entri lain.
Untuk kali ini, saya kira cukup untuk menjelaskan kekeliruan dan menampakkan jalan kepada kita, bolehkah lelaki dan wanita bersahabat? Anda ada jawapannya.

No comments:

Post a Comment